Followers

Saturday 5 January 2013

Teks ucapan majlis penutupan kursus MBMMBI


Diucapkan oleh : Pn Norazliah Ani selaku wakil peserta SMK dan SK
TEKS UCAPAN MAJLIS PENUTUP KURSUS PEMANTAPAN TATABAHASA BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN (SM) 2012
Yang berusaha Cik Maziah binti Mohd Khalid, Pegawai bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Pahang
Yang berusaha En Mohd Yusoff b Abdul, Pegawai bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Selangor
__________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________
Yang dihormati Dr Supian bin Mohamad Noor dan En Nadzeri bin Isa, penceramah kursus kami,
barisan penceramah, para urus setia, staf PLGDP, dan rakan-rakan guru yang dikasihi ,
Alhamdulillahirabbil alamin, selayaknya segala pujian kepada Allah Subhanahu Wataala dan salam sejahtera atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Dengan izin Allah kita dapat bersama-sama  dalam majlis penutupan kursus pemantapan tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran BM (SM).
Hadirin yang dirahmati,
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan  Pelajaran Negeri Pahang, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu  yang telah menjalinkan kolaborasi menzahirkan kursus ini khas untuk guru-guru bahasa Melayu.  Tidak dinafikan ini menjadi usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Ucapan penghargaan juga kepada Dr Supian bin Mohamad Noor dan En Nadzeri b Isa, selaku penceramah kursus yang telah berlangsung dari 11-13 September 2012.
Para mursyid,

Sebagai penyalur ilmu kita tidak dapat mengelakkan ledakan transformasi dunia pendidikan. Kini, guru-guru bahasa Melayu yang bukan opsyen bukan sekadar mengajarkan tatabahasa tetapi juga mengajarkan tataberbahasa. Selari dengan keperluan itulah kita semua berada di sini untuk meluaskan horizon ilmu yang sedia ada. Transformasi ini tidak akan dapat dilakukan dalam masa sehari atau melalui kursus yang dianjurkan seperti hari ini sahaja. Proses ini memerlukan tekad, komitmen dan usaha yang berterusan daripada semua pihak termasuklah para guru.  Sedar tidak sedar terbukti ada keluaran sistem pendidikan kita yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi membawa kemajuan kepada negara selama ini. Pemartabatan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bukanlah semata-mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait dengan faktor peradaban dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri.
Kluster ilmuan,
Bahasa jiwa bangsa. Insya Allah kami akan mengaplikasikan apa-apa yang telah dipelajari selama tiga  hari ini sebaik mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah demi kepentingan negara.  Kami juga akan memberikan komitmen penuh bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan. Sesungguhnya sangat banyak yang dapat kami pelajari dan peroleh sepanjang tempoh kursus ini yang dapat mengangkat upaya diri dan keyakinan sebagai seorang guru bahasa Melayu .  Kami amat menghargai para penceramah yang tidak lokek berkongsi ilmu, memberikan panduan dan bimbingan kepada kami.
 Sidang mursyid,
Sesungguhnya sebagai guru kita perlu sentiasa kreatif melengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara-perkara baru, dan agresif dalam mendalami ilmu untuk mempertingkatkan kecemerlangan diri, contohnya melalui majlis-majlis ilmu atau kursus seperti ini.  Oleh yang demikian besarlah harapan kami agar kursus-kursus seperti ini dapat dianjurkan lagi agar perkongsian dan kelangsungan ilmu tidak terhenti setakat ini sahaja.  Dalam kesempatan ini juga saya ingin mengajak guru-guru agar tidak menyisihkan pendekatan didik hibur  digunakan sebagai pedagogi ilmu nahu bahasa Melayu.
Sejambak bakti segugus budi,
Untuk generasi bangsa tak sisih,
Ganjaran terbaik  daripada Ilahi,
Ucapan kami, terima kasih.
Sepanjang bersama-sama dalam kursus ini, kalau nama yang salah sebut, kalau gelar yang salah ucap, saya mohon maaf. Akhir kata, selaku wakil peserta sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kursus yang cukup bermakna ini.   Saya tutup ucapan ini dengan sebuah nazam yang sempat saya gubah.

Nazam PLGDP 11 September
Allah Allah Azza wa Jal Tuhan kami,
Kami mohon ampun akan dosa kami.

Kami alunkan nazam ini berperi-peri,
Buat menghibur tuan puan yang dikasihi.

Beratnya hati meninggalkan keluarga mahu ke mari,
Demi tugas cabaran guru bestari.

Allah Allah Azza wa Jal Tuhan kami,
Kami mohon ampun akan dosa kami

Semangat disuntik  ilmu nahu diberikan roh,
             Biarlah nanti pulang kita berilmu penuh.


Segala kenangan tidak dilupa tersemat dihati,
            Semoga kitalah guru BM yang dedikasi.


Allah Allah Azza wa Jal Tuhan kami,
Kami mohon ampun akan dosa kami.


Sekian, wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum w.b. t

No comments:

Post a Comment